Sunday, May 1, 2011

Soi Lek Diingatkan Urus 'Nasib' MCA Dahulu




KUALA LUMPUR 2 MEI : Kepimpinan PAS pusat menggesa Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menguruskan parti komponen BN yang diketuainya itu dan bukannya mengheret parti Islam itu untuk terjebak dengan masalah yang dialami BN menjelang pilihan raya umum.

Anggota biro politik PAS, Khalid Samad dalam khidmat pesanan ringkasnya (SMS) kepada portal The Malaysian Insider turut melahirkan keraguannya sama ada Presiden MCA itu benar-benar faham apabila mengatakan MCA tidak akan menerima PAS menyertai BN selagi tidak menggugurkan dasar Islamnya.

“Saya ragu-ragu sama ada CSL (Chua Soi Lek) tahu apa yang beliau cakap,” katanya.

Semalam, Dr Chua berkata pihaknya akan menutup pintu menyertai BN kepada PAS kecuali ia sanggup menggugurkan prinsip-prinsip negara Islamnya terlebih dahulu.

Dr Chua berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sedar bahawa partinya tidak akan menerima PAS menukar Malaysia menjadi sebuah negara Islam.

“Pendirian MCA adalah sangat jelas bahawa kami tidak akan menerima PAS dalam usaha mereka menjadikan negara ini negara Islam. Kami tidak akan menerima yang itu dan Perdana Menteri juga memang sedar akan pendirian MCA ini,” kata beliau.

“Mereka boleh menyertai BN jika mereka sanggup menggugurkan dasar menjadikan negara ini sebagai negara Islam,” kata Dr Chua mengulas pelawaan Najib kepada PAS kelmarin.

Khalid yang juga Yang Dipertua PAS Shah Alam dan Ahli Parlimen kawasan itu berkata, PAS tidak pernah membentangkan matlamatnya kepada Dr Chua yang hanya memperlihatkan sedikit minat ataupun sama sekali tidak untuk mengetahui soal itu.

“Apa yang beliau bayangkan sebagai matlamat politik PAS kemungkinan bukan apa yang ada pada PAS,” kata Khalid sambil menambah, sebelum meletakkan syarat untuk menerima PAS, Dr Chua wajar memastikan sama ada ia benar-benar berminat untuk diterima MCA dan beliau juga benar-benar tahu apa yang diperkatakannya.

Justeru Khalid menambah, Dr Chua seharusnya memberi tumpuan ke atas kemerosotan populariti MCA di kalangan komuniti Cina berbanding keperluan PAS diterima oleh MCA.

Katanya, jika MCA sudah ditolak oleh komuniti Cina sendiri, maka soal suka atau tidak suka dan keutamaannya tidak menjadi keprihatinan mana-mana pihak kecuali parti itu sendiri.

Malah tegas Khalid, Umno selaku parti teras BN sendiri tidak lagi memberi tumpuan ke atas MCA.

Pemimpin-pemimpin kanan PAS termasuk Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri telah menolak bulat-bulat pelawaan Najib

Read more ...

Himpunan 1 Mei - 21 Ditahan Termasuk Ahli Parlimen

KUALA LUMPUR 1 Mei : Polis menahan 21 termasuk Ahli Parlimen Sungei Siput Dr D. Jayakumar yang menyertai perhimpunan sempena hari pekerja di ibu negara hari ini.

Turut ditahan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvam.

Arutchelvam ditahan sejurus memberi kenyataan kepada media untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (SUHAKAM) mengenai tindakan polis menyuraikan perhimpunan aman mereka.

"Ada 75 NGO dan kumpulan yang yang menganjurkan perhimpunan hari ini dan tindakan polis menyuraikan mereka tidak betul dan bertentangan dengan hak asasi manusia. Kami akan membuat aduan kepada SUHAKAM tentang tindakan ini sekarang," kata beliau

Kira-kira 200 aktivis dan wakil pekerja kemudiannya berhimpun di depan ibu pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia di Maju Junction membantah penangkapan itu.

Di situ juga Polis bertindak menangkap beberapa lagi peserta himpunan termasuk Dr D Jeyakumar yang cuba berunding dengan pihak polis dalam melepaskan mereka yang ditahan.

Hal itu berlaku dihadapan Pesuruhjaya SUHAKAM James Nayagam yang menganggap perhimpunan aman Hari Buruh ini sah dari segi undang-undang.

"Hari ini 1 Mei, hari pekerja, semua pekerja ada hak untuk berkumpul secara aman ikut perlembagaan. Mereka boleh berkumpul di sini dan berikan apa-apa memorandum kepada saya.

"Kalau kumpul di sini, memang pejabat saya, memang ada hak, kawasan persetujuan. Saya akan terima aduan dan akan bersama pesuruhjaya lain buat siasatan tentang apa yang berlaku," jelas James kepada TV Selangor

Penyelaras NGO hak asasi manusia Suara Rakyat Malaysia (Suaram) E Nalini kemudiannya menbuat lapioran polis dan menuntut Ketua Polis Daerah Dang Wangi OCPD Zulkarnain Abdul Rahman yang mengetuai pasukan polis hari ini dipecat kerana melakukan pencabulan hak asasi manusia.

"Kami buat laporan polis terhadap OCPD Zulkarnain kerana arahan beliau dalam mengawal perarakan hari ini.Kami berhimpun secara aman namun beliau telah memberi arahan dan menyebabkan beberapa insiden keganasan polis berlaku. Beberapa orang kaum perempuan juga dipukul di Maju Junction. SUARAM membuat laporan ini untuk mendesak polis melepaskan mereka yang ditahan serta supaya Zulkarnain meletakkan jawatan beliau," kata Nalini.

Turut bersama dalam perhimpunan ini ialah Solidariti Mahasiswa Malaysia, gabungan kumpulan Mahasiswa yang memperjuangkan hak rakyat.

Pengerusinya Ahmad Syukri Abd Razab mahu Kerajaan Persekutuan mendengar suara rakyat sebelum menggubal apa-apa akta mengenai mereka seperti Akta Gaji Minima

"Akta (Gaji Minima) ini perlu dikaji semula kerajaan agar suara rakyat dapat didengar. Kami mahasiswa juga mendesak agar aktivis masyarakat yang ditangkap dibebas segera dan tidak akan berganjak selagi mereka tidak dibebas. Kita mahasiswa menyokong untuk kebebasan bersuara dan gaji minima yang dituntut oleh rakyat," kata beliau.

Read more ...