Wednesday, June 16, 2010

Beri imbuhan khas kepada anggota bomba sukarela

KUALA LUMPUR, 16 Jun: Ahli Parlimen Baling, Ustaz Taib Azamudden Mohd Taib (gambar) menyarankan kerajaan menyediakan imbuhan khusus kepada anggota bomba sukarela memandangkan tugas mereka semakin bertambah, bukan sekadar memadamkan kebakaran sahaja.

Beliau sewaktu mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini berkata, pihak bomba sukarela wajar diberikan imbuhan khusus terutamanya apabila melakukan operasi bulanan di kawasan masing-masing.

"Umum mengetahui tugas bomba semakin banyak sekarang ini. Bukan setakat memadamkan kebakaran sahaja. Ular masuk rumah pun panggil bomba, pokok tumbang tepi jalan panggil bomba. Jadi apakah kerajaan boleh fikirkan imbuhan khusus kepada pihak bomba terutama apabila melakukan operasi bulanan," katanya.

Taib juga berkata, pihak bomba yang sering berhadapan dengan risiko membabitkan keselamatan diri sewaktu bertugas harus difikirkan untuk diberikan skim imbuhan sebagai persediaan jika berlaku sebarang kecelakaan.

"Malang memang tidak berbau dan boleh jadi juga bomba menerima malang ketika menjalankan tugas. Adakah kerajaan memikirkan untuk memberikan skim imbuhan kepada mereka?" soalnya.

Selain itu, beliau turut mencadangkan pihak bomba diberikan kad kuasa untuk menjalankan tugas kerana ada ketikanya mereka tidak memakai uniform dalam tugas-tugas tertentu.

"Saya juga cadangkan pihak bomba perlukan kad kuasa kerana dalam keadaan tertentu mereka tidak memakai uniform. Jadi mereka perlukan kad kuasa untuk masuk ke tempat-tempat tertentu," katanya yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Beliau turut menegur keadaan bangunan dan kenderaan yang digunakan pihak bomba yang disifatkan sebagai daif.

"Saya lihat di beberapa tempat terutamanya di kawasan luar bandar, kedudukan bangunan dan kenderaan yang digunakan agak daif. Kenapa kerajaan tidak boleh peruntukan kepada mereka banguan dan kenderaan yang baik? Insentif sebegini akan memberi makna penghargaan kepada pihak bomba yang menjaga keselamatan rakyat selain daripada pihak polis," katanya.

Beliau dalam soalan asalnya meminta Menteri Perumahan dan dan Kerajaan Tempatan menyatakan sama ada kerajaan bercadang atau tidak untuk memberi insentif galakan kepada bomba sukarela di seluruh negara dengan peralatan-peralatan uatama bagi menampung khidmat mereka dengan bertambahnya kawasan perumahan dan penduduk sekarang ini.

No comments: